Sunday, July 7, 2019

Proton Iriz R5 Juara Goodwood Festival of Speed Forest Stage Rally untuk kali ketiga berturut-turut!


Goodwood Festival of Speed (FOS) 2019 telah melabuhkan tirainya, dan sekali lagi Proton Iriz R5 binaan Mellors Elliot Motorsport (MEM) telah berjaya menjadi juara dalam Rally Stage acara tahunan tersebut, untuk kali ketiga berturut-turut!


Apa yang istimewa kali ini, jentera yang dipandu oleh Oliver Mellors bersama juruarah Ian Windress bukan lagi unit prototaip dengan nombor pendaftaran “PRO7 TON” sebelum ini, sebaliknya dengan unit baharu dengan nombor plat pendaftaran “YN19 GFG” yang sudah pun menerima homologasi penuh dari FIA Mac lalu.


MEM turut menerima tajaan pengeluar minuman beralkohol, Thornbridge Brewery dari Bakewell (ibu pejabat MEM juga terletak di Bakewell). Oleh itu, Iriz R5 berkenaan diberikan livery perlumbaan berwarna oren dengan grafik Jaipur, iaitu jenama dari syarikat tersebut.


Proton Iriz R5 mula membuat kemunculan sulung pada Goodwood FOS 2017, dan terus bergelar juara untuk Rally Stage pada penyertaan pertamanya itu. Olie Mellors dan Iriz R5 kemudian kembali ke FOS 2018, dan sekali lagi mempertahankan kejuaraannya.



MEM mula membangunkan Proton Iriz R5 ini sejak tahun 2016. Jentera tersebut dijana enjin petrol turbo 4B11T dari Mitsubishi Lancer Evolution X yang telah diturunkan kapasitinya dari 2.0 liter kepada 1.6 liter (bagi membolehkan ia diiktiraf dalam kategori R5), digandingkan bersama transmisi dari Xtrac dan juga sistem pacuan semua roda.


Untuk suspensi, ia diberikan set penyerap hentak dari Reiger, dan turut menerima sistem brek dari Brembo. Seluruh kawalan elektronik jentera ini pula menerima peralatan dari Cosworth.


Dengan homologasi penuh dari FIA diterima oleh kereta ini, Proton Iriz R5 kini sudah boleh bertanding dalam Kejuraan Rali Dunia (WRC) untuk kategori WRC2, menentang jentera-jentera lain seperti Skoda Fabia R5 dan Volkswagen Polo GTI R5.









The post Proton Iriz R5 Juara Goodwood Festival of Speed Forest Stage Rally untuk kali ketiga berturut-turut! appeared first on Paul Tan's Automotive News.

No comments:

Post a Comment